Menurut teman
sekerja setiap hari dia akan duduk berehat mendengar bunyi percikan dan aliran
air dari kolam mini di halaman rumahnya untuk menenangkan fikiran. Bunyi aliran
air yang menggunakan kuasa elektrik itu tidaklah semerdu alunan muzik tetapi ia
memberi kesan positif kepada emosi dan minda.
Air yang menjadi tonggak utama kehidupan mempunyai banyak manfaat lain
termasuklah dalam bidang perubatan. Beribu tahun dulu secara tradisionalnya,
air digunakan untuk merawat dan mengurangkan penderitaan pesakit artritis dan
kaedah ini dikenali sebagai terapi air atau hidro. Ia juga dipanggil
balneoterapi.
Terapi hidro bermakna menggunakan air dalam sebarang bentuk untuk mengembalikan
tenaga, mengekal dan menjaga kesihatan. Ada banyak jenis terapi air yang
ditawarkan termasuklah sauna, mandi wap, mandi sitz (hanya merendamkan punggung
dan paha) atau sekadar berendam dalam air suam. Malah, penggunaan pek panas
atau sejuk bagi melegakan kesakitan otot juga dianggap sebahagian daripada
hidro terapi.
Berdasarkan sejarah, terapi air dipelopori paderi Bavaria Jerman, Sebastian
Kneipp pada awal abad ke-19 yang menghidap batuk kering. Dia percaya banyak
penyakit boleh disembuhkan dengan menggunakan air bagi menyingkirkan bahan
kumuh dan toksik daripada badan.
Ketika sakit dia membaca buku mengenai terapi hidro karya seorang pakar
perubatan mengatakan penyakitnya itu boleh dirawat dengan berendam dua atau
tiga kali seminggu di Sungai Danube yang sejuk bagi merangsang sistem imun.
Terbukti selepas melakukannya, kesihatan Kneipp bertambah baik dan dari situ
dia mula meneroka lebih dalam mengenai terapi air dan memperkenalkan kaedahnya
sendiri.
Sebenarnya sejarah rawatan menggunakan air bermula 4,500 tahun sebelum Masihi
berdasarkan penemuan runtuhan tab mandi kuno di Pakistan. Manakala rumah mandi
awam dikatakan menjadi antara unsur penting dalam budaya Rom kuno. Malah, pakar
perubatan Rom, Galen dan Celsus menulis makalah menyarankan amalan mandian
sejuk dan suam bagi mencegah penyakit.
Rumah mandi awam mula popular di seluruh Eropah pada kurun ke-17 dan 18 dan
menjadi ikutan di Amerika pada pertengahan tahun 1700-an. Penggunaan air bagi
tujuan perubatan juga tercatat dalam sejarah Cina, Jepun, India, Yunani dan
Timur Tengah.
Kini air masih menjadi antara kaedah utama dalam rawatan moden untuk pelbagai
jenis masalah kesihatan. Perunding Rehabilitasi dan Senaman, Pusat Perubatan
Gleneagles Intan, Dr Tunku Nor Taayah Tunku Zubir berkata, walaupun ia terbukti
berkesan tetapi terapi air perlu dilakukan dalam persekitaran selamat dan
sempurna di bawah penyeliaan jurulatih fisioterapi air.
Katanya, terapi air yang dijalankan di kolam renang khas mempunyai kelebihan
tersendiri kerana ada pergerakan yang tidak boleh dilakukan di atas tanah
(darat) terutama bagi individu yang alami masalah kecederaan tulang belakang,
strok dan artritis boleh dilakukan dengan mudah di dalam air.
Bagaimana air boleh menjadi ejen rawatan? Sifat air sangat unik. Ia boleh wujud
dalam tiga bentuk iaitu cecair (air), pepejal (ais) dan wap. Air boleh
menyimpan dan mengalirkan haba serta tenaga. Ia juga boleh melarutkan bahan
lain seperti garam galian.
Pada suhu bilik air tidak menyakitkan walaupun anda seorang yang amat sensitif
pada perubahan persekitaran. Inilah sebabnya kita boleh mandi beberapa kali
sehari tanpa sebarang masalah.
Asas dalam terapi air ialah suhu air yang digunakan. Air sejuk akan memberi
rangsangan kepada salur darah yang dekat dengan kulit untuk mengecut dan
mengalihkan lebih banyak aliran darah ke organ dalam badan.
Manakala air suam pula akan merehatkan otot, mengembangkan salur darah dan
membantu menyingkirkan bahan buangan daripada tisu badan. Menggunakan air sejuk
dan suam secara berselang seli dikatakan boleh memperbaiki proses penyingkiran
bahan kumuh, mengurangkan keradangan dan merangsang aliran darah.
Namun, ada beberapa ciri penting yang membolehkan air menjadi medium rawatan
iaitu:
# Daya apungan - Dalam air, badan akan menjadi 90 peratus lebih ringan
kerana ia ditampung oleh daya apungan air. Secara automatik beban yang
ditanggung otot tulang belakang dan kaki akan berkurang.
Ciri ini amat berguna membantu pesakit yang tidak boleh bersenam akibat sakit
pada sendi terutama pada lutut, tulang belakang dan pinggul selain dapat
membantu merawat pesakit yang mengalami keretakan tulang dan masalah berlebihan
berat badan. Daya apungan ini membolehkan pesakit menggerakkan anggota yang
sakit dengan menggunakan sedikit tenaga dan mengurangkan ketegangan otot.
# Kelikatan air - Memberi
halangan pergerakan. Bagaimanapun, gabungan daya apungan dan kelikatan, ia membolehkan
seseorang pesakit melakukan pergerakan mengikut kemampuannya. Halangan ini
tanpa disedari membantu pesakit membina kekuatan pada otot yang cedera dan
lemah tanpa perlu mengangkat beban.
Pada peringkat permulaan, senaman boleh dilakukan mengikut arus air (arah
pergerakan air dan kurang halangan) tetapi apabila apabila otot sudah kuat,
senaman bolehlah dibuat melawan arus.
Pergerakan air ini juga dianggap sebagai urutan. Apabila berada dalam air,
seluruh badan akan menerima urutan. Jadi seluruh badan akan menerima
manfaatnya.
# Tekanan hidrostatik - Air
memberi tekanan dari semua arah. Tekanan ini membantu meningkatkan kepekaan
pesakit terhadap pergerakan semua ototnya. Apabila mengalami kecederaan otot,
kebanyakan pesakit tidak mahu menggerakkan otot berkenaan bagi mengelakkan rasa
sakit tetapi perkara ini sebenarnya hanya akan menyebabkan otot menjadi tegang.
Terapi air membantu pesakit menggerakkan otot yang cedera dan pada masa sama ia
mengurangkan masalah bengkak pada otot.
# Suhu air - Suhu air yang
sesuai untuk terapi ialah antara 32 hingga 34 darjah Celsius (air terasa suam).
Air suam akan merehatkan otot dan membolehkan ia digerakkan tanpa berasa sakit.
Apabila berendam dalam air suam, salur darah akan menjadi kembang dan
melancarkan aliran darah yang secara tidak langsung mempercepatkan proses
penyembuhan. Keadaan ini juga membolehkan enzim dan endorfin (ejen penahan
sakit semula jadi dalam badan) bekerja dengan lebih baik khususnya pada anggota
yang sakit, bengkak atau cedera.
Haba juga membantu sel menyingkirkan bahan kumuh dan digantikan dengan oksigen
serta nutrien. Bagaimanapun jangan berendam dalam air yang dirasakan terlalu
panas kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan terutama kepada pesakit yang ada
masalah jantung.
“Kedalaman berbeza akan memberi tekanan, halangan dan daya apungan yang
berbeza. Jadi pesakit boleh memilih berada pada kedalaman mengikut kemampuan
dan masalah yang dihadapi. Pesakit tidak perlu bimbang kerana pakar fisioterapi
akan bersama mereka ketika melakukan terapi air,” katanya.
Terapi air untuk siapa?
Dr Taayah berkata hampir semua orang tanpa pada semua peringkat umur boleh
mendapat manfaat daripada terapi air termasuklah individu sihat. Justeru itulah
pusat rawatan kecantikan dan kesihatan seperti spa menawarkan sauna, mandi
bunga atau mandi wap untuk menghilangkan tekanan.
Namun, oleh kerana kemudahan terapi air yang agak terhad (hanya ada di beberapa
hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala
Lumpur (HKL), Hospital Serdang dan satu atau dua pusat perubatan swasta), maka
hanya pesakit tertentu saja yang akan diberikan terapi air.
Pemilihan ini dibuat berdasarkan keperluan setiap pesakit dan pemeriksaan rapi
termasuklah pengambilan tekanan darah, tahap kesihatan dan penyakit lain akan
dilakukan terlebih dulu bagi mengelakkan sebarang masalah.
Terapi air boleh membantu pesakit yang mengalami masalah:
Sakit
belakang atau mengalami kecederaan pada anggota badan (termasuk tangan dan
kaki)
Semua
jenis artritis
Pesakit
yang ada masalah urat saraf (neuro) seperti yang alami kecederaan tulang
belakang, strok, Parkinson, kanak-kanak serebral palsi (bagi meningkatkan
kepekaan deria dan menguatkan otot seluruh badan), pesakit jantung, pernah
menjalani pembedahan penggantian lutut, pesakit yang jalani pemulihan rawatan
jantung.
Wanita hamil
(terutama yang kerap alami masalah sakit belakang)
Bagaimanapun ada golongan yang tidak sesuai menjalani terapi air iaitu,
·
Pesakit
yang ada masalah paru-paru atau sakit jantung yang teruk (perlu lebih
berhati-hati)
·
Inkontinens
(tidak dapat mengawal kencing atau air besar)
·
Mempunyai
luka yang belum sembuh
·
Sawan
·
Demam
panas
·
Mengalami
jangkitan
Menurut Pakar Fisioterapi Kanan Pusat Perubatan Prince Court, Zalilah Salleh
Ghany, terapi air boleh dilakukan secara bersendirian atau berkumpulan namun
perlu dipantau pakar fisioterapi air. Bagi yang sudah mahir boleh melakukannya
sendiri. Tempoh setiap sesi adalah antara 20 hingga 30 minit; dua kali
seminggu.
“Setiap pesakit memerlukan program terapi air yang berbeza; bergantung kepada
tahap kesihatan dan sasaran yang ingin dicapai. Namun pesakit perlu ingat,
terapi air hanyalah kaedah iringan untuk mempercepatkan penyembuhan dan bukan
pengganti ubat. Program terapi air bisanya dijalankan serentak dengan
pengambilan ubat.
“Bila boleh bermula? Bila-bila yang dirasakan perlu. Lebih cepat, lebih baik.
Contohnya bagi kanak-kanak serebral palsi, terapi air boleh dimulakan seawal
umur enam bulan. Tiada had umur untuk melakukan terapi air tetapi sebelum
memulakan sebarang program pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih
dulu,” katanya.
Kelebihan :
·
Menguatkan
otot
·
Memperbaiki
keupayaan melakukan senaman regangan (pergerakan yang tidak boleh dilakukan di
darat boleh dibuat dalam air)
·
Meningkatkan
daya ketahanan (melalui senaman dalam air). Ini amat baik untuk pesakit
kanak-kanak serebral palsi atau pesakit dewasa yang kerap alami kekejangan otot.
·
Memperbaiki
keseimbangan
·
Merehatkan
minda dan badan
·
Melegakan
kesakitan
·
Meningkatkan
kepekaan deria
·
Meningkatkan
keyakinan diri khususnya pada pesakit yang tidak dapat mengikuti program di
darat boleh mendapat manfaat melalui terapi air dan membuatkan mereka berada
lebih baik.
·
Mengurangkan
kesakitan dan bengkak akibat kecederaan
·
Mengurangkan
suhu badan (ketika demam)
·
Membantu
badan menyingkirkan bahan toksin
·
Air
menjadi ejen anti pengecutan otot yang tidak terkawal
·
Membantu
mengatasi masalah sembelit
·
Meningkatkan
sistem imun badan
·
Membantu
mengawal tekanan darah dan paras gula dalam badan
·
Membantu
memperbaiki pernafasan
No comments:
Post a Comment